Wednesday 27 July 2011

~ SYARAT-SYARAT SAH SOLAT ~

Pertama: Suci dari hadas kecil dan besar. Maka yang dimaksudkan dengan hadas kecil seperti kencing, kentut dan lain-lain lagi yang menyebabkan wajib wuduk. Dalam hal ini, terdapat sebuah riwayat dari al-Bukhari dan Muslim menjelaskan:

Ertinya: "Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu. beliau berkata: Nabi saw telah bersabda (bermaksud) :"Allah tidak akan menerima solat seseorang jika dia berhadas sebelum berwuduk"".
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

- Adapun yang dimaksudkan dengan hadas besar itu adalah seperti berjunub dan lain-lain. Berhubung perkara ini, Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: "...dan jika kamu berjunub maka bersuculah kamu, (iaitu dengan mandi mengngkat hadas)".
(Surah al-Maidah 5:6)

Kedua: Suci pakaian, badan dan tempat daripada najis. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah berfirman:

Maksudnya: "wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah lalu berilah peringatan kepada kaummu! Dan kepada Tuhanmu sahajalah engkau besarkan. Dan sucikan pakaianmu".
(Surah al-Mudaththir 74:1-4)

~ SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT ~

- Ibadat solat merupakan sesuatu kewajipan yang difardhukan ke atas umat Islam, namun untuk menentukan kefardhuan ibadat itu, terdapat beberapa syarat. Antara syarat-syaratnya ialah:

Pertama:
Beragama Islam. Solat tidak wajib bagi orang kafir, kerana mengucap dua kalimah syahadah adalah syarat perintah solat. Dalam hal ini, Rasulullah saw bersabda:

Ertinya: "Serulah mereka agar bersaksi bahawa tiada Tuhan tempat memperhambakan diri melainkan Allah, dan Muhammad itu utusan Allah. Jika mereka taat kepadamu melaksanakannya, maka katakan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan perlaksanaan solat lima kali sehari semalam"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda lagi yang bererti:

"Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang tempat memperhambakan diri selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah,mendirikan solat dan mengeluarkan zakat".

Kedua: Berakal. Solat tidak wajib ke atas orang gila (masalah mental dan tidak waras). Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Ertinya:
"Diangkat pena dari tiga perkara, iaitu orang yang tidur sehingga dia bangun, dari kanan-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dari orang gila sehingga dia sedar (waras)".
(Hadis riwayat Daud dan Hakim)

Ketiga: Baligh. Solat tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak sehinggalah mereka bermimpi atau sampai umur, tetapi mereka tetap diperintah melaksanakannya sebagai latihan. Berhubung perkara ini, Rasulullah saw telah bersabda:

Ertinya:"Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila sudah mencapai usia tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat setelah mencapai usia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan)"
(Hadis riwayat Tirmizi)

Keempat: Bersih dari haid dan nifas.Tidak sah solat bagi kaum perempuan yang dalam keadaan haid dan nifas sehinggalah dia suci darinya. Hal ini berdasarkan pada sbda Rasulullah saw yang bererti:

"Apabila kamu (golongan wanita) dalam keadaan haid, maka tinggalah solat".

Kelima: Sampai seruan. Orang yang tidak sampai seruan islam tidaklah di tuntut oleh hukum.

Keenam: Memiliki pendengaran dan penglihatan. Orang yang tidak memiliki pendengaran dan penglihatan sejak dilahirkan tidak wajib menunaikan solat.

~ SOLAT ~

PENDAHULUAN

- Solat menurut etimologi (ilmu bahasa) bermaksud doa. Allah s.w.t telah berfirman :
Maksudnya: "...dan berdoalah syariat kamu untuk mereka,Sesunggugnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka..."

- Manakala solat menurut syariat agama merupakan sesuatu perbuatan yang terbina dari berbagai perbuatan yang dituntut.

- Terdapat berbagai jenis solat, ada solat fardhu dan solat bukan fardhu. Bagi solat fardhu terdapat dua jenis, iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Solat fardhu ain iaitu solat lima waktu dan solat jumaat. Manakala solat yang hukumnya fardhu kifayah ialah solat jenazah. Adapun solat yang bukan fardhu iaitu solat-solat sunat. Solat-solat sunat itu pula terdapat bermacam-macam jenis, ada yang mutlak dan ada yang terikat. Antara solat sunat yang terikat seperti solat sunat rawatib, iaitu solat sunat yang dikerjakan bersama solat-solat fardhu dan lainya, seperti yang akan diperjelaskan nanti.

- Kadangkala solat itu dilaksanakan secara bersendirian atau individu dan kadangkala secara berjemaah. Ada juga masanya ibadat solat itu dilaksanakan dalam keadaan aman dan dalam situasi ketakutan. Segala ibadat solat yang dikerjakan mestilah mengikut syarat-syaratnya dan menurut peraturan yang tertentu, mencakupi rukun, kewajipan, tuntutan, dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.

Wednesday 6 July 2011

~~ PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDUK ~~

- Wuduk dapat menghilangkan hadas dan memperolehi kesucian. Namun kesucian itu akan hilang dan wuduk akan menjadi batal, kemudian menjadi berhadas kembali kerana sebab-sebab tertentu yang dinamakan dengan perkara-perkara yang membatalkan wuduk (nawaqidh al-wuduk') yang dapat disebutkan sebagai berikut:

Pertama: Keluar sesuatu daripada dubur atau qubul, sama ada benda yang keluar itu berupa cecair atau lendir seperti air kencing, mani dan mazi, atau berupa angin seperti kentut, sama ada itu mengeluarkan bunyi atau tidak, atau berupa pepejal seperti tahi dan sebagainya, semua ini akan membatalkan wuduk. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: "Allah tidak akan menerima solat seseorang kamu, apabila dia berhadas, kecuali dengan berwuduk".

Kedua: Hilang ingatan dengan sebab gila, pengsan, mabuk, pitam atau tidur yang tidak tetap kedudukannya. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Ertinya: "Kedua mata itu adalah pengikat pintu dubur, maka sesiapa yang tidur hendaklah dia berwuduk".
(Hadis riwayat Abu Daud)

Ketiga: Bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya tanpa alas atau berlapik.

Keempat: Menyentuh kemaluan (dubur atau qubul) dengan tapak tangan perut jari-jari tangan. Sama ada kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain. Hal ini berpandukan hadis Rasulullah s.a.w:

Ertinya: "Sesiapa yang menyentuh zakarnya dengan bahagian dalam tapak tangan, maka janganlah dia mengerjakan solat kecuali setelah berwuduk".
(Hadis riwayat Tirmizi)

Kelima: Murtad. Misalnya seseorang telah melafazkan kata-kata kufur. Dengan ucapanya yang kufur itu akan membatalkan wuduknya, kerana dia telah menjadi murtad, bahkan segala amal ibadahnya menjadi batal. Ini berpandukan pada firman Allah s.w.t:

Maksudnya: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Muhammad) dan kepada orang-orang yang sebelum kamu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya terhapuslah segala amalmu dan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi".
(Surah az-Zumar 39:65)

Keenam: Memegang perempuan dengan syahwat, kerana dengan adanya syahwat itu akan membatalkan wuduk dengan alasan perintah berwuduk apabila memegang zakar, sebab memegang zakar akan membangkitkan syahwat. Dalam kitab al-Muwatta', Ibnu Umar menyatakan: Seseorang lelaki yang mencium isterinya kemudian mendakapnya dengan tangan adalah termasuk (mulamasah atau bersetubuh). Sesiapa yang mencium atau mendakap istrinya hendaklah dia berwuduk".

Tuesday 5 July 2011

~~ PERKARA MAKRUH KETIKA BERWUDUK ~~

Pertama: Berwuduk ditempat yang terdapatnya najis, kerana bimbang adanya kesan najis di sekitar tempat itu atau tercecernya najis di kawasan itu.

Kedua: Mengulangi basuhan anggota wuduk lebih dari tiga (3) kali. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: "Berwuduklah tiga (3) kali. Dan Nabi s.a.w bersabda bermaksud: Sesiapa yang melakukan lebih daripada 3 kali, maka dia telah melakukan aniaya dan zalim".
(Hadis an-Nasa'i Ahmad dan Ibnu Majah)

Ketiga: Berlebih-lebihan menggunakan air semasa membasuh anggota wuduk, kerana Rasulullah s.a.w berwuduk hanya dengan menggunakan air sebanyak satu mud (cupak) sahaja. Sesungguhnya berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara itu adalah dilarang.

Keempat: Meninggalkan perkara-perkara sunat semasa berwuduk atau melakukan lebih dari yang disunatkan, kerana dengan meninggalkan perkara-perkara sunat ketika berwuduk itu bermakna hilanglah pahala-pahalanya.

Kelima: Berwuduk dengan sisa air bersuci kaum wanita, kerana Rasulullah s.a.w melarang dari perbuatan sedemikian.

~~ PERKARA SUNAT WUDUK ~~

Pertama: Membaca basmillah pada permulaan wuduk (selepas niat) iaitu dengan lafaz: (بسم الله الرحمن الرحيم) "Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang". Dalam halini, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Ertinya: "Tidak sempurna wuduk seseorang itu, jika tidak menyebut nama Allah"

- Hadis di atas diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, hadis ini dianggap lemah sanadnya. Namanu,sebahagian ulama berpegang dan mengamalkannya.

Kedua: Membasuh kedua telapak tangan sebanyak 3 kali sebelum tanganya dimasukkan ke dalam bejana (bekas yang berisi air) apabila bangun dari tidur. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Ertinya: "Apabila seseorang daripada kamu bangun dari tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bejana (bekas air) sebelum dia membasuhnya sebanyak 3 kali, kerana dia tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tanganya semasa sedang tidur"
(Hadis muttafaqun 'alaih)

- Jika seseorang itu bukan orang yang tidur, baginya tiada halangan untuk memasukkan tangannya ke dalam bejana atau bekas air dan mengambil air untuk membasuh kedua telapak tangannya sebanyak 3 kali, kerana perbuatan itu dianggap mengerjakan perkara sunat ketika berwuduk.

Ketiga: Menggosok gigi atau bersiwak. Dalam hal ini Rasululluh Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:

Ertinya: "Sekiranya tidak membebankan umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka menggosok gigi (bersiwak) setiap kali berwuduk"
(Hadis riwayat Malik)

Keempat: Berkumur-kumur, iaitu mengerak-gerakkan air di dalam mulut dari sudut ke sudut. Kemudian menyemburkan air itu keluar. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:

Ertinya: "Apabila engkau berwuduk, maka berkumurlah"
(Hadis riwayat Abu Daud)

Kelima: Memasukkan air ke hidung dan menyemburkannya keluar atau dalam bahasa Arabnya disebut istinsyar dan istinsyaq. Istinsyaq bermaksud menyedut air dengan hidung, manakala al-istinsyar pula bermakna menghembuskan air dengan nafas. Dalam hal ini, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

Ertinya: "Sedutlah air dengan hidung bersangantanlah, kecuali jika kamu sedang berpuasa"
(Hadis riwayat Ahmad Abu Daud dan Tarmizi)

Keenam: Membersihkan (menyela-yela) janggut dengan air bagi kaum lelaki, berpandukan pada kata- kata Ammar bin Yasir yang bermaksud:

"Kadang-kadang membasuh janggut dengan air semasa berwuduk itu dianggap aneh, tetapi bukanlah suatu halangan bagiku untuk melakukannya, kerana aku pernah melihat Rasulullah s.a.w membasuhkan janggutnya semasa Baginda sedang berwuduk"
(Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Ketujuh: Setiap perbuatan dilakukan sebanyak tiga (3) kali, sedangkan yang wajib dan dituntut hanya dengan melakukan sekali sahaja. Manakala basuhan yang kedua dan ketiga merupakan amalan sunat sahaja.

Kelapan: Membasuh bahagian dalam dan luar telinga, kerana Rasulullah s.a.w melakukannya.

Kesembilan: Membersihkan sela-sela jari tangan dan kaki. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu berwuduk, maka bersihkanlah sela-sela jari-jari tangan dan jari-jari kaki kamu".


Kesepuluh: Mendahulukan yang kanan dari yang kiri ketika membasuh anggota wuduk. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu berwuduk, mulailah dengan yang kanan".

Aisyah R.a juga pernah berkata ertinya:

"Rasulullah s.a.w sangat suka dengan mendahulukan yang kanan dari yang kiri ketika memakai kasut atau bersikat rambut pada bersuci dan dalam segala urusannya"
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Kesebelas: Memanjangkan basuhan anggota wuduk melebihi bahagian yang dibasuh. Maksudnya memperluaskan basuhan pada bahagian atas kepala yang dibasuh hingga ke tempat tumbuhnya rambut bahagian hadapan dan memperluaskan basuhan bahagian siku dan bahagian buku lali. Dalam hal ini,Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

Ertinya: "Sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat dalam keadaan muka bercahaya dan tangan bercahaya akibat dari kesan wuduk. Sesiapa di antara kamu dapat melebarkan seri dan cahayanya, maka hendaklah ia lakukan".
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Kedua Belas: Hendaklah mengusap kepala, mulai dari bahagian hadapan kepala. Hal ini berpandukan pada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengusap kepala dengan kedua kepalanya. Dengan memulakan dari bahagian hadapan kemudian terus ke bahagian belakang kepala dan dari bahagian belakang itu dibawa ke hadapan".
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Ketiga Belas: Hendaklah berdoa setelah selesai berwuduk. Doanya adalah seperti berikut:



- Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa sahaja yang berwuduk kemudian menyempurnakan wuduknya dengan sebaik-baiknya, kemudian melafazkan: Aku naik saksi bahawa Tuhan tempat memperhambakan diri melainkan Allah semata-mata maka akan dibuka kepadanya pintu syurga yang lapan itu, dan dia boleh memasuki mana-mana pintu yang dia kehendaki".

(Hadis riwayat Muslim)