Wednesday 27 July 2011

~ SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT ~

- Ibadat solat merupakan sesuatu kewajipan yang difardhukan ke atas umat Islam, namun untuk menentukan kefardhuan ibadat itu, terdapat beberapa syarat. Antara syarat-syaratnya ialah:

Pertama:
Beragama Islam. Solat tidak wajib bagi orang kafir, kerana mengucap dua kalimah syahadah adalah syarat perintah solat. Dalam hal ini, Rasulullah saw bersabda:

Ertinya: "Serulah mereka agar bersaksi bahawa tiada Tuhan tempat memperhambakan diri melainkan Allah, dan Muhammad itu utusan Allah. Jika mereka taat kepadamu melaksanakannya, maka katakan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan perlaksanaan solat lima kali sehari semalam"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda lagi yang bererti:

"Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang tempat memperhambakan diri selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah,mendirikan solat dan mengeluarkan zakat".

Kedua: Berakal. Solat tidak wajib ke atas orang gila (masalah mental dan tidak waras). Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Ertinya:
"Diangkat pena dari tiga perkara, iaitu orang yang tidur sehingga dia bangun, dari kanan-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dari orang gila sehingga dia sedar (waras)".
(Hadis riwayat Daud dan Hakim)

Ketiga: Baligh. Solat tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak sehinggalah mereka bermimpi atau sampai umur, tetapi mereka tetap diperintah melaksanakannya sebagai latihan. Berhubung perkara ini, Rasulullah saw telah bersabda:

Ertinya:"Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila sudah mencapai usia tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat setelah mencapai usia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan)"
(Hadis riwayat Tirmizi)

Keempat: Bersih dari haid dan nifas.Tidak sah solat bagi kaum perempuan yang dalam keadaan haid dan nifas sehinggalah dia suci darinya. Hal ini berdasarkan pada sbda Rasulullah saw yang bererti:

"Apabila kamu (golongan wanita) dalam keadaan haid, maka tinggalah solat".

Kelima: Sampai seruan. Orang yang tidak sampai seruan islam tidaklah di tuntut oleh hukum.

Keenam: Memiliki pendengaran dan penglihatan. Orang yang tidak memiliki pendengaran dan penglihatan sejak dilahirkan tidak wajib menunaikan solat.

No comments:

Post a Comment