Wednesday 27 July 2011

~ SYARAT-SYARAT SAH SOLAT ~

Pertama: Suci dari hadas kecil dan besar. Maka yang dimaksudkan dengan hadas kecil seperti kencing, kentut dan lain-lain lagi yang menyebabkan wajib wuduk. Dalam hal ini, terdapat sebuah riwayat dari al-Bukhari dan Muslim menjelaskan:

Ertinya: "Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu. beliau berkata: Nabi saw telah bersabda (bermaksud) :"Allah tidak akan menerima solat seseorang jika dia berhadas sebelum berwuduk"".
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

- Adapun yang dimaksudkan dengan hadas besar itu adalah seperti berjunub dan lain-lain. Berhubung perkara ini, Allah s.w.t berfirman:

Maksudnya: "...dan jika kamu berjunub maka bersuculah kamu, (iaitu dengan mandi mengngkat hadas)".
(Surah al-Maidah 5:6)

Kedua: Suci pakaian, badan dan tempat daripada najis. Dalam hal ini, Allah s.w.t telah berfirman:

Maksudnya: "wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah lalu berilah peringatan kepada kaummu! Dan kepada Tuhanmu sahajalah engkau besarkan. Dan sucikan pakaianmu".
(Surah al-Mudaththir 74:1-4)

~ SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT ~

- Ibadat solat merupakan sesuatu kewajipan yang difardhukan ke atas umat Islam, namun untuk menentukan kefardhuan ibadat itu, terdapat beberapa syarat. Antara syarat-syaratnya ialah:

Pertama:
Beragama Islam. Solat tidak wajib bagi orang kafir, kerana mengucap dua kalimah syahadah adalah syarat perintah solat. Dalam hal ini, Rasulullah saw bersabda:

Ertinya: "Serulah mereka agar bersaksi bahawa tiada Tuhan tempat memperhambakan diri melainkan Allah, dan Muhammad itu utusan Allah. Jika mereka taat kepadamu melaksanakannya, maka katakan kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan perlaksanaan solat lima kali sehari semalam"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rasulullah saw bersabda lagi yang bererti:

"Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang tempat memperhambakan diri selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah,mendirikan solat dan mengeluarkan zakat".

Kedua: Berakal. Solat tidak wajib ke atas orang gila (masalah mental dan tidak waras). Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Ertinya:
"Diangkat pena dari tiga perkara, iaitu orang yang tidur sehingga dia bangun, dari kanan-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dari orang gila sehingga dia sedar (waras)".
(Hadis riwayat Daud dan Hakim)

Ketiga: Baligh. Solat tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak sehinggalah mereka bermimpi atau sampai umur, tetapi mereka tetap diperintah melaksanakannya sebagai latihan. Berhubung perkara ini, Rasulullah saw telah bersabda:

Ertinya:"Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila sudah mencapai usia tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat setelah mencapai usia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan)"
(Hadis riwayat Tirmizi)

Keempat: Bersih dari haid dan nifas.Tidak sah solat bagi kaum perempuan yang dalam keadaan haid dan nifas sehinggalah dia suci darinya. Hal ini berdasarkan pada sbda Rasulullah saw yang bererti:

"Apabila kamu (golongan wanita) dalam keadaan haid, maka tinggalah solat".

Kelima: Sampai seruan. Orang yang tidak sampai seruan islam tidaklah di tuntut oleh hukum.

Keenam: Memiliki pendengaran dan penglihatan. Orang yang tidak memiliki pendengaran dan penglihatan sejak dilahirkan tidak wajib menunaikan solat.

~ SOLAT ~

PENDAHULUAN

- Solat menurut etimologi (ilmu bahasa) bermaksud doa. Allah s.w.t telah berfirman :
Maksudnya: "...dan berdoalah syariat kamu untuk mereka,Sesunggugnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka..."

- Manakala solat menurut syariat agama merupakan sesuatu perbuatan yang terbina dari berbagai perbuatan yang dituntut.

- Terdapat berbagai jenis solat, ada solat fardhu dan solat bukan fardhu. Bagi solat fardhu terdapat dua jenis, iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Solat fardhu ain iaitu solat lima waktu dan solat jumaat. Manakala solat yang hukumnya fardhu kifayah ialah solat jenazah. Adapun solat yang bukan fardhu iaitu solat-solat sunat. Solat-solat sunat itu pula terdapat bermacam-macam jenis, ada yang mutlak dan ada yang terikat. Antara solat sunat yang terikat seperti solat sunat rawatib, iaitu solat sunat yang dikerjakan bersama solat-solat fardhu dan lainya, seperti yang akan diperjelaskan nanti.

- Kadangkala solat itu dilaksanakan secara bersendirian atau individu dan kadangkala secara berjemaah. Ada juga masanya ibadat solat itu dilaksanakan dalam keadaan aman dan dalam situasi ketakutan. Segala ibadat solat yang dikerjakan mestilah mengikut syarat-syaratnya dan menurut peraturan yang tertentu, mencakupi rukun, kewajipan, tuntutan, dan hukum-hukum yang berkaitan dengannya.

Wednesday 6 July 2011

~~ PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDUK ~~

- Wuduk dapat menghilangkan hadas dan memperolehi kesucian. Namun kesucian itu akan hilang dan wuduk akan menjadi batal, kemudian menjadi berhadas kembali kerana sebab-sebab tertentu yang dinamakan dengan perkara-perkara yang membatalkan wuduk (nawaqidh al-wuduk') yang dapat disebutkan sebagai berikut:

Pertama: Keluar sesuatu daripada dubur atau qubul, sama ada benda yang keluar itu berupa cecair atau lendir seperti air kencing, mani dan mazi, atau berupa angin seperti kentut, sama ada itu mengeluarkan bunyi atau tidak, atau berupa pepejal seperti tahi dan sebagainya, semua ini akan membatalkan wuduk. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: "Allah tidak akan menerima solat seseorang kamu, apabila dia berhadas, kecuali dengan berwuduk".

Kedua: Hilang ingatan dengan sebab gila, pengsan, mabuk, pitam atau tidur yang tidak tetap kedudukannya. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Ertinya: "Kedua mata itu adalah pengikat pintu dubur, maka sesiapa yang tidur hendaklah dia berwuduk".
(Hadis riwayat Abu Daud)

Ketiga: Bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya tanpa alas atau berlapik.

Keempat: Menyentuh kemaluan (dubur atau qubul) dengan tapak tangan perut jari-jari tangan. Sama ada kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain. Hal ini berpandukan hadis Rasulullah s.a.w:

Ertinya: "Sesiapa yang menyentuh zakarnya dengan bahagian dalam tapak tangan, maka janganlah dia mengerjakan solat kecuali setelah berwuduk".
(Hadis riwayat Tirmizi)

Kelima: Murtad. Misalnya seseorang telah melafazkan kata-kata kufur. Dengan ucapanya yang kufur itu akan membatalkan wuduknya, kerana dia telah menjadi murtad, bahkan segala amal ibadahnya menjadi batal. Ini berpandukan pada firman Allah s.w.t:

Maksudnya: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Muhammad) dan kepada orang-orang yang sebelum kamu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya terhapuslah segala amalmu dan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi".
(Surah az-Zumar 39:65)

Keenam: Memegang perempuan dengan syahwat, kerana dengan adanya syahwat itu akan membatalkan wuduk dengan alasan perintah berwuduk apabila memegang zakar, sebab memegang zakar akan membangkitkan syahwat. Dalam kitab al-Muwatta', Ibnu Umar menyatakan: Seseorang lelaki yang mencium isterinya kemudian mendakapnya dengan tangan adalah termasuk (mulamasah atau bersetubuh). Sesiapa yang mencium atau mendakap istrinya hendaklah dia berwuduk".

Tuesday 5 July 2011

~~ PERKARA MAKRUH KETIKA BERWUDUK ~~

Pertama: Berwuduk ditempat yang terdapatnya najis, kerana bimbang adanya kesan najis di sekitar tempat itu atau tercecernya najis di kawasan itu.

Kedua: Mengulangi basuhan anggota wuduk lebih dari tiga (3) kali. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: "Berwuduklah tiga (3) kali. Dan Nabi s.a.w bersabda bermaksud: Sesiapa yang melakukan lebih daripada 3 kali, maka dia telah melakukan aniaya dan zalim".
(Hadis an-Nasa'i Ahmad dan Ibnu Majah)

Ketiga: Berlebih-lebihan menggunakan air semasa membasuh anggota wuduk, kerana Rasulullah s.a.w berwuduk hanya dengan menggunakan air sebanyak satu mud (cupak) sahaja. Sesungguhnya berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara itu adalah dilarang.

Keempat: Meninggalkan perkara-perkara sunat semasa berwuduk atau melakukan lebih dari yang disunatkan, kerana dengan meninggalkan perkara-perkara sunat ketika berwuduk itu bermakna hilanglah pahala-pahalanya.

Kelima: Berwuduk dengan sisa air bersuci kaum wanita, kerana Rasulullah s.a.w melarang dari perbuatan sedemikian.

~~ PERKARA SUNAT WUDUK ~~

Pertama: Membaca basmillah pada permulaan wuduk (selepas niat) iaitu dengan lafaz: (بسم الله الرحمن الرحيم) "Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang". Dalam halini, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Ertinya: "Tidak sempurna wuduk seseorang itu, jika tidak menyebut nama Allah"

- Hadis di atas diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud, hadis ini dianggap lemah sanadnya. Namanu,sebahagian ulama berpegang dan mengamalkannya.

Kedua: Membasuh kedua telapak tangan sebanyak 3 kali sebelum tanganya dimasukkan ke dalam bejana (bekas yang berisi air) apabila bangun dari tidur. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Ertinya: "Apabila seseorang daripada kamu bangun dari tidur, janganlah dia memasukkan tangannya ke dalam bejana (bekas air) sebelum dia membasuhnya sebanyak 3 kali, kerana dia tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tanganya semasa sedang tidur"
(Hadis muttafaqun 'alaih)

- Jika seseorang itu bukan orang yang tidur, baginya tiada halangan untuk memasukkan tangannya ke dalam bejana atau bekas air dan mengambil air untuk membasuh kedua telapak tangannya sebanyak 3 kali, kerana perbuatan itu dianggap mengerjakan perkara sunat ketika berwuduk.

Ketiga: Menggosok gigi atau bersiwak. Dalam hal ini Rasululluh Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:

Ertinya: "Sekiranya tidak membebankan umatku, nescaya aku akan menyuruh mereka menggosok gigi (bersiwak) setiap kali berwuduk"
(Hadis riwayat Malik)

Keempat: Berkumur-kumur, iaitu mengerak-gerakkan air di dalam mulut dari sudut ke sudut. Kemudian menyemburkan air itu keluar. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:

Ertinya: "Apabila engkau berwuduk, maka berkumurlah"
(Hadis riwayat Abu Daud)

Kelima: Memasukkan air ke hidung dan menyemburkannya keluar atau dalam bahasa Arabnya disebut istinsyar dan istinsyaq. Istinsyaq bermaksud menyedut air dengan hidung, manakala al-istinsyar pula bermakna menghembuskan air dengan nafas. Dalam hal ini, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

Ertinya: "Sedutlah air dengan hidung bersangantanlah, kecuali jika kamu sedang berpuasa"
(Hadis riwayat Ahmad Abu Daud dan Tarmizi)

Keenam: Membersihkan (menyela-yela) janggut dengan air bagi kaum lelaki, berpandukan pada kata- kata Ammar bin Yasir yang bermaksud:

"Kadang-kadang membasuh janggut dengan air semasa berwuduk itu dianggap aneh, tetapi bukanlah suatu halangan bagiku untuk melakukannya, kerana aku pernah melihat Rasulullah s.a.w membasuhkan janggutnya semasa Baginda sedang berwuduk"
(Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Ketujuh: Setiap perbuatan dilakukan sebanyak tiga (3) kali, sedangkan yang wajib dan dituntut hanya dengan melakukan sekali sahaja. Manakala basuhan yang kedua dan ketiga merupakan amalan sunat sahaja.

Kelapan: Membasuh bahagian dalam dan luar telinga, kerana Rasulullah s.a.w melakukannya.

Kesembilan: Membersihkan sela-sela jari tangan dan kaki. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu berwuduk, maka bersihkanlah sela-sela jari-jari tangan dan jari-jari kaki kamu".


Kesepuluh: Mendahulukan yang kanan dari yang kiri ketika membasuh anggota wuduk. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu berwuduk, mulailah dengan yang kanan".

Aisyah R.a juga pernah berkata ertinya:

"Rasulullah s.a.w sangat suka dengan mendahulukan yang kanan dari yang kiri ketika memakai kasut atau bersikat rambut pada bersuci dan dalam segala urusannya"
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Kesebelas: Memanjangkan basuhan anggota wuduk melebihi bahagian yang dibasuh. Maksudnya memperluaskan basuhan pada bahagian atas kepala yang dibasuh hingga ke tempat tumbuhnya rambut bahagian hadapan dan memperluaskan basuhan bahagian siku dan bahagian buku lali. Dalam hal ini,Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

Ertinya: "Sesungguhnya umatku akan datang pada hari kiamat dalam keadaan muka bercahaya dan tangan bercahaya akibat dari kesan wuduk. Sesiapa di antara kamu dapat melebarkan seri dan cahayanya, maka hendaklah ia lakukan".
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Kedua Belas: Hendaklah mengusap kepala, mulai dari bahagian hadapan kepala. Hal ini berpandukan pada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengusap kepala dengan kedua kepalanya. Dengan memulakan dari bahagian hadapan kemudian terus ke bahagian belakang kepala dan dari bahagian belakang itu dibawa ke hadapan".
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Ketiga Belas: Hendaklah berdoa setelah selesai berwuduk. Doanya adalah seperti berikut:



- Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa sahaja yang berwuduk kemudian menyempurnakan wuduknya dengan sebaik-baiknya, kemudian melafazkan: Aku naik saksi bahawa Tuhan tempat memperhambakan diri melainkan Allah semata-mata maka akan dibuka kepadanya pintu syurga yang lapan itu, dan dia boleh memasuki mana-mana pintu yang dia kehendaki".

(Hadis riwayat Muslim)

Tuesday 28 June 2011

~~ PERKARA WAJIB WUDUK ~~

Pertama: Niat.
Tidak sah wuduk seseorang jika tidak disertakan dengan niat,iaitu sengaja dengan hati mengerjakan wuduk kerana mentaati perintah Allah Subhanahu wa Taala.. Rasulullah 'Alaihi Easallam pernah bersabda:

Ertinya: "Sesungguhnya perbuatan itu, bergantung pada niat"
(Hadis muttafaqun 'alaih)

Kedua:Membasuh Muka.
Bermula dari atas dahi sampai ke dagu dan dari pasak telinga kanan ke pasak telinga kiri.Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka kamu".
(Surah al-Maidah 5:6)

Ketiga: Membasuh kedua tangan sampai ke siku. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka kamu dan basuhlah tangan kamu sampai ke siku".

Keempat: Mengusap sebahagian rambut kepala. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka kamu dan basuhlah tangan kamu sampai ke siku dan sapulah (usaplah) kepala kamu".

Kelima: Membasuh kedua kaki sampai ke buku lali. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan solat, maka basuhlah muka kamu dan basuhlah tangan kamu sampai ke siku dan sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sampai kedua buku lali".
(Surah al-maidah 5:6)

Keenam: Tertib.
Wuduk mestilah dilaksanakan secara tertib, anggota demi anggota dibasuh sesuai dengan petunjuk dari al-Quran dan sebagaimana telah ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Iaitu dimulakan dengan membasuh muka,kemudian membasuh dua tangan sampai ke siku,diikuti dengan menyapu rambut kepala dan seterusnya membasuh dua kaki sehingga kedua buku lali, kerana Allah Subhanahu wa Taala memerintahkan agar dilakukan sedemikian.

Ketujuh: Al-Muwalah atau secara berterusan dan berturutan, iaitu melaksanakan wuduk selesai dalam satu waktu tanpa diselangi dengan perbuatan lain. dalam perkara ini, Allah s.w.t telah berfirman:

Maksudnya:
"Wahai orang-orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan janganlahkamu merosakkan (pahala) amalan-amalan kamu".
(Surah Muhammad 47:33)

Monday 27 June 2011

~~ RINGKASAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ ~~

- Sempena bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini,saya ingin menulis serba sedikit tentang peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah. Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.

Sebelum Israk dan Mikraj

- Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

- Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah.
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan).

- Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

* Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

* Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

* Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

* Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

* Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

* Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

* Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

- Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

- Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):

- Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S.Ketika Nabi Muhammad s.a.w bertemu dengan Nabi Adam a.s, Beliau disambut serta Nabi Adam a.s, mendoakannya dengan doa kebaikan. Pertemuan Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Adam a.s, di langit pertama ini sebenarnya merupakan suatu i'tibar, apabila kita berniat akan memulakan perkerjaan atau perjalanan, hendaklah terlebih dahulu kita datang kepada orang tua, yakni ayah dan ibu untuk memohon do'a restu keduanya agar perkerjaan dan perjalanan itu memperolehi kejayaan serta mendapat keselamatan. Kemudian perjalanan di teruskan, naiklah Nabi s.a.w bersama Jibril kelangit kedua.

ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

DI SIDRATIL MUNTAHA


- Di Sidratil Muntaha ini Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan keindahan panorama yang tiada bandingannya dan tidak terdapat di tempat manapun apa lagi di dunia ini. Dalam satu kesempatan di Sidratul Mutaha, Nabi Muhammad s.a.w sempat melihat, rupa Malaikat Jibril yang asli. Di sebut dalam satu hadis yang di riwayat Bukhari dan Muslim bahawasanya Jibril mempunyai enam ratus sayap. Selanjutnya Nabi Muhammad s.a.w di ajak oleh Malaikat Jibril menyaksikan keindahan bengawan Al-Kautsar, sampai ke depan pintu gerbang syurga kemudian Beliau masuk ke syurga, di dalam syurga Beliau menyaksikan hal-hal yang menghairankan, yang belum pernah Beliau saksikan sebelumnya, juga mendengar suara-suara yang belum pernah Beliau mendengarnya, bahkan apa saja yang menjadi kehendak hati seketika wujud. Kesemuanya itu disaksikan oleh Nabi s.a.w di dalam syurga, bahkan Beliau sempat membaca tulisan yang terpampang di pintu syurga sebagai berikut, yang ertinya:

SEDEKAH MEMPEROLEH PAHALA SEPULUH KALI LIPAT DAN MENGHUTANGI MEMPEROLEHI PAHALA DELAPAN BELAS KALI LIPAT.

- Bertanyalah Nabi s.a.w kepada Jibril: Mengapakah pahala orang yang memberi hutang lebih besar dari pada pahala orang bersedekah?. Jibril menjawab: Benar, sebab orang yang di beri sedekah terkadang masih mempunyai persediaan hidup, sedangkan orang yang berhutang sudah barang tentu dia sangat memerlukan, yakni tidak mempunyai persediaan, sedangkan ia tidak sudi berbuat meminta-minta. Untuk kesempurnaan pengetahuan Nabi s.a.w, diajak melihat keadaan melihat neraka, di sisi Beliau meyaksikan bermacam-macam penyiksaan dan sebagainya. setelah menyaksikan keadaan syurga dan neraka, kemudian Nabi s.a.w meneruskan perjalanan naik ke Sidratul Muntaha sendirian tampa ditemani oleh Malaikat Jibril, lantaran Jibril merasa berat untuk melangkah lebih tinggi lagi. Di Sidratul Muntaha Beliau mendengar suara goresan pena penulis, yaitu kalam yang menulis hukum-hukum Allah di Lauhul-Mahfuzh.

- Seterusnya Nabi Muhammad s.a.w diangkat naik setingkat lagi sampai ke 'Arasy disinilah Nabi s.a.w menerima perintah solat yang wajib di laksanakan oleh Nabi s.a.w dan segenap ummatnya sebanyak lima puluh kali sehari semalam. Dan akhirnya hanya tinggal lima waktu sehari malam setelah dinasihati oleh Nabi Musa a.s dan diperkenankan oleh Allah.

- Juga di 'Arasy, Nabi Muhammad s.a.w, menerima beberapa khushushiyyah yang belum pernah diberikan kepada para Nabi terdahulu. Mengenai beberapa khushushiyyah, yang disebut antara lain sebagi berikut:

- Nabi s.a.w diberi oleh Allah : Surah Al-Fatihah dan akhir Surah Al-Baqarah dari ayat AAMANAR RASUULU sampai kepada firmanNya FAN SHURNAA 'ALAL-QAUMIL KAAFIRIINA.

Bismillaah ar-Rahman ar-Raheem

Amanar-rasulu bima unzila ilayhi min rabbihi wal-muminun
Kullun amana billahi wa mala ikatihi wa kutubihi wa rusulih
La nufarriqu bayna ahadin min rusulih
Wa qalu sami'na wa a-ta'na ghufranaka rabbana wa ilaykal masir
La yukallifullahu nafsan illa wus'aha
Laha ma kasabat wa alayha maktasabat
Rabbana la tu akhidhna in nasina au akhta'na
Rabbana wa la tahmil alayna isran kama
Hamaltahu alalladhina min qablina
Rabbana wa la tuhammilna ma la taqata lanabih
Wa'fu anna, waghfir lana, warhamna
Anta maulana fansurna alal-qaumil-kafirin

Saddaqallah hul Azim

- Nabi Muhammad s.a.w memperolehi darjat yang tertinggi, yaitu Asma Allah di sebutkan bersamaan dengan nama Muhammad ( LAA-ILAAHA ILLALLAAHU, MUHAMMADUR-RASUULULLAAH ) di dalam azan, tasyahhud dan lain-lainnya.Nabi Muhammad s.a.w juga menerima sebutan (gelar)HABIBULLAH dan SAYYIDUL AWWALIINA WAL AKHIRIINA.

- Setelah Nabi Muhammad s.a.w melakukan tugas perjalanan Isra' dan Mi'raj, dengan membawa perintah solat lima waktu sehari semalam, maka Beliau turun sampai ke Masjidil Haram di Mekah. Beliau datang di Mekah sebelum subuh. Keesokan harinya Beliau menceritakan peristiwa Isra' dan Mi'raj yang dialaminya semalam kepada Abu Jahal dan segenap kaumnya. Kaum Quraisy amat gembira mendengar cerita Nabi s.a.w ini, kerana menjadikan bukti yang jelas, akan kedustaan dan kepalsuan seruan Nabi Muhammad s.a.w. Cerita ini yang menurut mereka amat berlebih-lebihan dan melampaui batas ini akan menjadi sebab yang dapat menjauhkan orang dari Nabi Muhammad s.a.w. dan orang yang masih ragu-ragu akan segera meninggalkan Nabi s.a.w dan tidak akan memikirkan lagi untuk mengikui dan menerima agamanya. Dugaan kaum Quraisy meleset, hal ini ternyata, utusan yang dikirim kaum Quraisy kepada Abu Bakar As-Shiddiq menyampaikan pertanyaan: Abu Bakar, dapatkah engkau mempercayai dan membenarkan Muhammad yang mengatakan ia baru saja pergi ke Baitul Maqdis dan dari sana ia terus naik ke langgit yg ke tujuh, lalu pada malam itu juga ia kembali ke Mekah?..Pertanyaan ini dijawab oleh Abu Bakar dengan tegas. Kalau memang Beliau menyatakan demikian, benarlah ia dan aku pun percaya.

- Utusan Quraisy mengulangi pertanyaan: Apakah engkau membenarkan hai Abu Bakar?. Dengan tegas Abu Bakar menjawab: Aku membenarkan dan aku yakin dan percaya. Dengan jawaban Abu bakar yang demikian mereka kecewa dan memfitnah Nabi Muhammad s.a.w dan menuduhnya sebagai seorang pendusta, gila dan lain sebagainya. Dengan demikian kita dapat memgambil kesempulan, bahawa sejak dahulu hingga sekarang kaum muslimin telah yakin dan percaya serta beriman terhadap peristiwa Isra' dan Mi'raj. Sebagai penutup marilah kita berdo'a semoga Allah s.w.t selalu berkati, melindungi kita dan mudah-mudahan kita senantiasa di bawah naungan keredhaan Nya. Amin...

~~ WUDUK ~~

Kewajipan dan Keutamaan Wuduk

- Wuduk merupakan salah satu kewajipan dalam islam,sekaligus menjadi salah satu syarat sahnya solat. Wuduk diwajibkan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman :

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengerjakan solat, makan basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga ke siku dan sapulah kepala kamu dan basuhlah kaki kamu sampai ke buku lali". (Surah al-Maidah 5:6)

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:

Ertinya:"Allah tidak akan menerima solat sesiapa daripada kamu apabila berhadas sebelum berwuduk".
(Hadis riwayat al-bukhari)

- Dalil yang lainnya ialah ijmak ulama atas pensyariatan wuduk dan ia merupakan salah satu kewajipan dalam islam yang sekaligus menjadi salah satu syarat sahnya solat.

Keutamaan Berwuduk

- Dari hadis yang dikemukan oleh Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam jelaslah betapa besarnya keutamaan dari berwuduk itu. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda :

Ertinya:
"Mahukah aku tunjukkan kepada kamu sesuatu yang dapat menghapuskan sesuatu kesalahan dan meninggikan darjat. Mereka menjawab: baik, ya Rasulullah.Rasulullah pun bersabda: Menyempurnakan wuduk ketika dalam keadaan susah payah,memperbanyakkan langkah ke masjid,selalu pergi ke masjid dan menunggu solat selepas solat. Itulah yang disebut sebagai medan pertempuran (perjuangan)". (hadis riwayat Muslim)

- Rasulullah Shallalahu 'Alaihi Wasallam bersabda lagi:

Ertinya: "Seseorang muslim atau mukmin berwuduk lalu dia membasuh mukanya,maka hilanglah segala kesalahan dari penglihatan matanya bersama air wuduknya atau berguguran bersama air wuduknya yang terakhir. Apabila dia membasuh tangannya, maka terhapuslah segala kesalahan dan dosa dari perbuatan tangannya bersama air wuduknya atau bersama akhir cucuran dari wuduknya, hingga dia bersih dari dosa-dosanya".
(Hadis riwayat Malik dan lain-lain)