Wednesday 6 July 2011

~~ PERKARA YANG MEMBATALKAN WUDUK ~~

- Wuduk dapat menghilangkan hadas dan memperolehi kesucian. Namun kesucian itu akan hilang dan wuduk akan menjadi batal, kemudian menjadi berhadas kembali kerana sebab-sebab tertentu yang dinamakan dengan perkara-perkara yang membatalkan wuduk (nawaqidh al-wuduk') yang dapat disebutkan sebagai berikut:

Pertama: Keluar sesuatu daripada dubur atau qubul, sama ada benda yang keluar itu berupa cecair atau lendir seperti air kencing, mani dan mazi, atau berupa angin seperti kentut, sama ada itu mengeluarkan bunyi atau tidak, atau berupa pepejal seperti tahi dan sebagainya, semua ini akan membatalkan wuduk. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: "Allah tidak akan menerima solat seseorang kamu, apabila dia berhadas, kecuali dengan berwuduk".

Kedua: Hilang ingatan dengan sebab gila, pengsan, mabuk, pitam atau tidur yang tidak tetap kedudukannya. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda:

Ertinya: "Kedua mata itu adalah pengikat pintu dubur, maka sesiapa yang tidur hendaklah dia berwuduk".
(Hadis riwayat Abu Daud)

Ketiga: Bersentuh kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrimnya tanpa alas atau berlapik.

Keempat: Menyentuh kemaluan (dubur atau qubul) dengan tapak tangan perut jari-jari tangan. Sama ada kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain. Hal ini berpandukan hadis Rasulullah s.a.w:

Ertinya: "Sesiapa yang menyentuh zakarnya dengan bahagian dalam tapak tangan, maka janganlah dia mengerjakan solat kecuali setelah berwuduk".
(Hadis riwayat Tirmizi)

Kelima: Murtad. Misalnya seseorang telah melafazkan kata-kata kufur. Dengan ucapanya yang kufur itu akan membatalkan wuduknya, kerana dia telah menjadi murtad, bahkan segala amal ibadahnya menjadi batal. Ini berpandukan pada firman Allah s.w.t:

Maksudnya: "Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepada engkau (Muhammad) dan kepada orang-orang yang sebelum kamu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya terhapuslah segala amalmu dan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi".
(Surah az-Zumar 39:65)

Keenam: Memegang perempuan dengan syahwat, kerana dengan adanya syahwat itu akan membatalkan wuduk dengan alasan perintah berwuduk apabila memegang zakar, sebab memegang zakar akan membangkitkan syahwat. Dalam kitab al-Muwatta', Ibnu Umar menyatakan: Seseorang lelaki yang mencium isterinya kemudian mendakapnya dengan tangan adalah termasuk (mulamasah atau bersetubuh). Sesiapa yang mencium atau mendakap istrinya hendaklah dia berwuduk".

No comments:

Post a Comment